Saturday, February 28, 2009

zina hati

Saya harapkan keberkatan ilmu dari kata-kata guru saya,

“ Seorang perempuan yang malas membasuh kukunya, bila dia mencuci baju, maka kotoran pada kukunya akan tercuci sekali”

Dan sebelum saya masuk lebih dalam berkenaan hal ini, saya hendak mengingatkan diri saya sendiri akan satu ayat ALLAH SWT yang melekat di dalam hati saya.

“ Amat besarlah kemurkaan ALLAH kepada sesiapa yang berkata, apa yang tidak dia lakukan”

Jadi kita berbicara berkenaan zina hati.

Zina hati, bukanlah sebenarnya mengkhayalkan zina di dalam khayalan kita. Tetapi zina hati ini adalah apabila kita tidak mengawal rasa cinta kita, dengan kita melakukan perkara-perkara yang mendekati zina, tetapi kita tidak melakukan zina.

Zina hati ini boleh terjadi melalui pelbagai medium. Contohnya, telefon, yahoo messenger, sms, e-mail dan sebagainya. Maksudnya, kita tidaklah bercouple bersentuh tangan, atau keluar berdua-duaan, atau berkhalwat bersama pasangan, tetapi kita sentiasa berhubung dan akhirnya timbul satu perasaan di dalam hati yang menganggu kebersihan jiwa kita.

Zina hati, biasa berlaku jika kita tidak menjaga perhubungan kita. Namun boleh juga berlaku jika kita sendiri yang berlebihan mengingati pasangan yang kita cinta, atau orang yang kita admire. Semua ini hakikatnya adalah lorong-lorong yang membawa kita kepada zina.

Perasan tak, apakah yang ALLAH arahkan kepada kita berkenaan zina?

ALLAH SWT berfirman,

“ Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya itu adalah perbuatan yang keji, dan itu adalah perbuatan yang buruk”

ALLAH mengarahkan kita, supaya jangan mendekati, bukan jangan buat. Maksudnya, nak dekat pun tak boleh, apatah lagi buat.

Di sinilah zina hati menjadi perkara yang besar untuk kita, kerana zina hati adalah kesan dari kita mendekati zina. Bagaimana?

Lihat sabda Rasulullah SAW ini,

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti"

Lihat, zina mata adalah memandang, zina lidah dalah berkata, dan zina hati adalah keinginan. Bila kita tidak menjaga tatacara perhubungan yang ISLAM dah tetapkan, kita akan terdedah kepada pasangan kita. Kita akan sentiasa memandangnya, atau jika tidak memandang, melalui telefon contohnya, maka kita akan sentiasa merindui suaranya, bila bersembang, kadangkala kita sengaja berlebih-lebihan dalam berbicara, atau kemungkinan kita akan sengaja melembut-lembutkan suara kita dengan kelembutan yang ganjil bila berbicara dengannya.

Semua ini, menganggu hati. Walaupun teknik bertelefon, bersms, beremail, berYM itu tidak bertemu wajah bersentuh tangan, tetapi hati tetap terganggu. Dan kemungkinan kita, sebelum tidur akan terbayang-bayang terlebih dahulu akan pasangan kita. Fokus kita untuk kerja-kerja lain pun akan terganggu. Hatta kemungkinan, kita akan mengingatinya walaupun waktu solat dan membaca al-quran. Lebih teruk lagi, kita akan lalai, bertelefon, bersms, beremail, berYM hingga membazir wang dan masa. Bagaimana? Adakah ini satu perkara yang baik?

Sebab itulah timbul satu pandangan buruk, cinta ini menganggu studi. Sebab hal sebeginilah. Menyebabkan orang lain yang nak berkahwin awal dengan cara hubungan yang baik dan terjaga pun diragui. Saya agak marah juga dengan orang yang membawa imej buruk dalam bercinta ni. Sebab menyusahkan orang lain yang hendak bercinta dengan jalan yang betul.

Apabila kita asyik merindui pasangan kita, sentiasa berfikir mengenainya, kecantikannya, ketampanannya, sifat penyayang dan keramahannya, kelembutannya dan betapa kecintaan kita kepadanya, atau kecintaannya kepada kita, maka zina telah berlaku, walaupun tidak bersua dari segi pancaindera. Semua itu menimbulkan bintik hitam dalam hati kita.

Sebab itulah kita diminta menjaga mu’amalah. Suka tidak menjadi masalah. Tetapi masalahnya, bagaimana cara kita menyukai? Zina hati, kalau dibiarkan lama-lama, akan menyebabkan kita kelemahan dalam beramal dan merosakkan diri kita sendiri dari dalam. Malah kalau tidak dinyahkan dalam diri, berkemungkinan besar menarik diir kita ke lembah zina yang sebenar.

Hendak suka, hendak bercinta, bukan tidak boleh. Saya tidaklah berpendapat cinta sebelum kahwin itu salah. Cinta adalah fitrah manusia. Tetapi ada caranya untuk kita bercinta. Kita sendiri perlu ada persiapannya. Bila menjurus kepada hati, maka kita sebenarnya perlu bersedia dan bertegas. Janganlah kerana cinta kepada seorang wanita, atau seorang lelaki, diri kita terjual ke lembah yang merugikan. Letakkanlah ALLAH sebagai cinta pertama kita, barulah kita akan menjadi lebih terjaga.

Zina hati ini, oleh kerana namanya pun zina hati, maka tidak akan ada sesiapa yang dapat menangkapnya melainkan diri kita sendiri. Maka kes ini adalah amanah. Kita sahaja yang dapat menyedarinya apakah kita ini sudah dijangkiti zina hati atau tidak. Tetapi biasanya, bila manusia terjangkit dengan penyakit ini, dia sukar untuk sembuh. Maka perkara yang terbaik adalah menjauhinya.

Sebab itulah ayat zina itu dinyatakan dengan arahan tidak mendekati.

Apa lagi? Mari kita sama-sama muhasabah diri.


reference:

www.langitilahi.blogspot.com

Friday, February 27, 2009

Kamu Sentiasa Layak Diuji

Kamu Sentiasa Layak Diuji

“Mak kambing, maafkan saya. Saya nak ambil anak makcik untuk buat rendang ya!” pinta seorang pengusaha ternakan kambing kepada seekor kambing betina tua, yang terpinga-pinga.

Perlukah beliau meminta izin si emak untuk menyembelih si anak?

Tidak perlu.

Hakikatnya, emak kambing, ayah kambing, anak kambing dan seluruh ahli keluarganya adalah milik pengusaha ternakan kambing tersebut. Mahu diambil si emak, mahu diambil si anak, kuasa mutlak ada padanya.

Namun kerana ihsan yang ada pada diri, penternak kambing sentiasa mengambil si kambing dewasa untuk jualan dan sembelihan. Sesekali sahaja keadaan sebaliknya berlaku. Tiada pertikaian, kerana seluruh kandang itu milik dirinya. Manusia yang memberi makan, minum, penjagaan, rawatan, perlindungan dan segala yang diperlukan oleh si kambing untuk hidup sejahtera.

RUBUBIYYAH ALLAH

Ada apa di sebalik kisah kambing?

Ia cara mudah untuk memahami kesan mengimani Rububiyyah Allah.

“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?” [Yunus 10: 31]

Mengimani bahawa Allah sebagai RABB, bahawa Dia itu Pencipta alam, Pentadbir alam, Pengatur alam dan Pemilik alam… adalah sari pati pengertian iman kita kepada Rububiyyah Allah.

Rububiyyah bukan iman muqaddimah yang remeh. Ia adalah iman asas, tempat di mana terbina dan berpijaknya kehambaan kita kepada Allah SWT. Sepatutnya, kesan mengimani Rububiyyah Allah inilah yang membawa kita kepada perbuatan menghambakan diri kepada-Nya, menunaikan tuntutan-tuntutan Uluhiyyah Allah, sebagai Ilah dan Keutamaan Tertinggi dalam hidup ini.

Namun, Iman warisan yang tiada nilai pilihan, mungkin tercicir akan hakikat ini. Dalam keadaan manusia beribadah kepada Allah, jiwanya gagal berhubung dengan Rububiyyah Allah.

Justeru dalam ‘kesempurnaan’ ibadah dan ritualnya, dia terlupa akan hakikat diri sebagai HAMBA.

HAMBA YANG LUPA

Hamba yang lupa dirinya sebagai hamba, tidak bersedia untuk menerima ujian. Dalam taatnya, dengan segera dia melatah mempersoalkan kewajaran dirinya diuji.

“Apa salah anak saya. Mengapa dia yang mati, bukan saya!” kata-kata manusia yang terlupa.

Terlupa bahawa dirinya, anaknya dan seluruh ahli keluarganya, adalah milik mutlaq Allah, Pemilik mutlaq alam ini. Terikatkah Allah kepada peraturan kita bahawa anak yang sepatutnya menghantar ibu bapa ke kubur dan bukan sebaliknya?

AYAT-AYAT CINTA

“Oh, novel itu sangat bagus. Ia panduan bercinta menurut Islam,” komen gadis-gadis Islamik yang jatuh hati dengan novel Habiburrahman El Shirazy.

“Ceritanya indah sekali. Ana kepingin menjadi Fahri,” ulas seorang akh yang larut dalam kisah syahdu di bumi Kinanah itu.

Mana mungkin Habiburrahman El Shirazy menulis sebuah novel, hanya untuk membentangkan soal cinta!

Saya bukan seorang pembaca novel. Namun dek kerana gahnya karya Ayat-ayat Cinta ini, saya gagahkan jua membacanya. Sungguh luar biasa. Filemnya juga ditonton. Bukan sekali tetapi dua.

Tetapi saya tidak melihat novel itu kemuncaknya adalah cinta. Saya tidak jadi ‘mabuk cinta’ membaca bait Ayat-ayat Cinta. Sebaliknya jiwa saya remuk meneman Fahri ketika di dalam penjara, kerana di situlah mesej teragung yang sepatutnya diangkat sebagai muhasabah terbesar ke atas jiwa.

Sama ada rakan sepenjara Fahri itu adalah Profesor Abdur Rauf yang dinukil novel, atau lelaki gila tanpa nama di dalam filem, ungkapannya bagai panahan lintar menampar pipi Fahri, juga saya yang membacanya:

“Allah sedang berbicara kepadamu tentang SABAR dan IKHLAS… SABAR dan IKHLAS itulah Islam”

Ya… kesalahan Fahri adalah pada sangkaan dirinya, bahawa setelah hidup dalam ilmu dan ketaatan, beliau tidak wajar diuji. Beliau itu bersih, suci, bagai yang dimahukan oleh Allah. Apatah lagi ujian itu adalah pada sesuatu yang bertentangan dengan nilai hidupnya. Mana mungkin seorang yang begitu bersih dari menggauli manusia berlawanan jantina, tertuduh dengan sebusuk-busuk fitnah, merogol Nora?

“Apa salah saya kepada Allah???” soalan seorang manusia bernama Fahri, yang tertipu dengan dirinya sendiri.

“Istighfar! Allah sedang memberitahu kamu supaya jangan sombong! Ingat siapa diri kamu!” bicara waras seorang manusia gila.

Itulah beban Ayat-ayat Cinta, bahawa segala tentang Fahri adalah untuk mempotretkan seorang manusia yang sempurna pada ilmu, pada amal, pada ibadahnya kepada Dia. Tetapi ikhlas dan musuh ikhlas itu sulit. Sulit dan tersembunyi bagai semut hitam merayap di atas batu hitam pada malam yang hitam pekat.

MUSIBAH ITU ADA TUJUANNYA

Agar keikhlasan itu dapat dirasa, datanglah segala musibah untuk berbicara, dalam bentuk yang di luar bayangan dan jangkaan kita. Kerana kita manusia yang lupa, bahawa kita semua adalah hamba. Status yang menjadikan kita sentiasa layak untuk diuji, dan diperlakukan apa sahaja oleh Pemilik kita (dengan selautan hikmah). Masakan kita boleh terlupa bahawa sujudnya kita adalah kerana kita hamba, milik Dia?

Lulus ujian itu, meningkatlah darjat kita. Daripada seorang hamba yang kurang baik, kepada hamba yang lebih baik. Namun masih tetap seorang HAMBA.

Buruk sangka, tidak mencari ‘bicara Tuhan’ di sebalik musibah dan berantakan menyelaputi jiwa, binasalah kita sebinasa-binasanya.

Seorang lelaki yang baik, menjaga iman dan beramal soleh, difitnah berzina?

Seorang isteri yang baik, taat, melakukan segala kebaikan untuk kesempurnaan rumahtangga, dihadapkan dengan khianat suami bermain kayu tiga?

Seorang suami yang bertanggungjawab, melakukan kebaikan kepada rumahtangga tak berbelah jiwa, diuji dengan isteri dan anak-anak yang kufur nikmat bernafsu rakus meminta dunia?

Seorang anak yang datang dari sebuah keluarga bahagia, berdepan dengan keluarga mertua yang mengundang sengsara?

Seorang ibu dan seorang bapa, yang sangat menjaga hal ehwal pendidikan dan akhlaq anak-anak mereka, diuji dengan salah seorangnya menjadi pelesit menconteng arang ke muka?

Mengapa semua ini berlaku?

Itulah bicara Allah kepada kamu…

Kamu pernah mendakwa yang kamu menjaga pergaulan adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu mentaati suami dan menjaga kebajikannya adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu memelihara isteri dan anak-anak adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu menjadi anak yang baik adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa baahwa kamu menjadi ibu dan bapa yang melaksanakan segala tugasan dengan sempurna adalah KERANA DIA.

LUPA

Tetapi kamu terlupa.

Ketika kamu tidak bergaul bebas, menjaga hubungan, dan berakhlaq baik, kamu terlupa kepada Allah hingga menyangka yang kamu seharusnya menerima yang baik-baik sahaja dalam hidup ini. Bukan cela, bukan hina. Lelaki baik harus lancar memiliki perempuan yang baik.

Ketika kamu mentaati suamimu, menjaga segala keperluannya, kamu terlupa kepada Allah dan meletakkan jangkaan bahawa mencintai sama dengan memiliki, dicintai sama dengan dimiliki.

Tatkala kamu menjaga isteri dan anak-anakmu, kamu lupa kepada Allah hingga kamu sangka itu semua jasa, dan jasa mesti dibalas budi.

Ketika kamu menjadi anak soleh, kamu lupa kepada Dia dan kamu sangka kebaikanmu itu suatu jaminan. Mustahil anak yang baik dikeji manusia ibu dan manusia bapa, biar pun mereka hanya mertua.

Semasa kamu mendidik anak-anak dengan sebaik-baik didikan, kamu lupa kepada Allah lalu mengharap kebaikanmu dikenang dan dibalas mereka, hingga terlupa niat kamu berkaitan Dia.

BAIK DAN MUKHLIS

Garis yang memisahkan di antara seorang manusia yang berlaku baik, dengan seorang manusia yang ikhlas dalam kebaikannya, amat tipis.

Justeru datanglah ujian yang tidak disangka-sangka, untuk menzahirkan keikhlasan itu.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji? [Al-Ankabut 29: 2]

Maka lelaki soleh yang difitnah zina, maka isteri solehah yang dikhianati suami, maka suami soleh yang dikufuri isteri, maka anak soleh yang disakiti ibu bapa, baik kandung atau mertua, maka ibu bapa solehin yang dikecewakan anak oleh perlakuan buruknya, ketahuilah bahawa ALLAH sedang berbicara kepada kamu.

Bicara untuk menyedarkan kamu, bahawa hati harus puas kerana mengikhlaskan kehambaan kepada-Nya. Bahawa sebaik mana sekali pun ibadah kamu, tanpa JIWA HAMBA, segalanya tidak bermakna.

HAMBA sentiasa sedar dirinya dimiliki dan tidak memiliki.

HAMBA sentiasa sedar dirinya sentiasa layak diuji.

HAMBA sentiasa sedar bahawa lahirnya hanya untuk DIA.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan tentang diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka. [Al-Hasyr 59: 19]

Kita sentiasa layak diuji…

Kerana kita adalah HAMBA.

Justeru hancurkanlah RASA MEMILIKI!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur