Hari itu semakin dekat.
Hari yang manusia sering mengangkat-angkat sepanduk dan berarak keliling kampung. Sepanduk-sepanduk yang padanya terdapat pelbagai slogan yang menyatakan kecintaan kepadanya, ada juga yang meletakkan slogan perayaan hari kelahirannya, ada juga yang hakikatnya tidak membawa apa-apa makna pada kalimahnya.
Semua manusia hanya mengingatinya pada hari itu. Sedangkan makna cinta kepadanya tidak diterjemah dalam kehidupan.
“ Mari kita zahirkan kecintaan kita kepada baginda”
Manusia melaung minta manusia lain menyertai perarakan sebegitu. Sedangkan cinta itu lahir dari iman, dan iman itu bukanlah perkara yang hanya cukup dengan kata-kata, tetapi ia adalah sesuatu yang terpatri di dalam hati dan diterjemahkan ke dalam amal.
“ Iman itu bukanlah sekadar cita-cita, bukanlah sekadar kata-kata, tetapi ia adalah apa yang tersemat di dalam hati, dan dibuktikan dengan amal”
Tetapi bila berlalunya hari itu, semua orang melupakannya.
“ dah sambut maulid semangat-semangat, sudah la”
Perjuangan 23 tahun penuh sukar, ditentang diseksa dihalang, diduga dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, dikejar dan diusahakan untuk terbunuh, hanya dibayar dengan satu hari sahaja?
364 hari manusia hidup dalam kealpaan, meninggalkan segala pesanannya, meninggalkan segala ajarannya, kemudian 1 hari manusia berarak membawa sepanduk mengingati hari lahirnya, dengan selawat dan alunan kompang, tidak kurang juga majlis-majlis amal yang disertai masyarakat, adakah itu terjemahan kepada kalimah cinta yang kita tempelkan bila manusia bertanya?
Oh... Inilah dia ummat yang tidak berguna dan melupakan penyampai nikmat ALLAH penuh berkat. Dia yang berjuang 23 tahun tanpa menghiraukan kesusahannya, tanpa menghiraukan kesempitan hidupnya, dialah yang berjuang sehingga kehidupannya susah, sehingga pernah apabila dakwahnya nampak tidak berhasil di bumi kelahirannya, dia bergerak ke satu tempat bernama Taif atas harapan menggunung tinggi agar nikmat iman dan ISLAM dirasai seluruh ummat manusia.
Tetapi akhirnya, dia dibaling batu. Darah mulianya bercucuran mewarnai bumi dengan kemerahan. Sehingga dia terpaksa keluar dari kampung itu dan berehat di kebun anggur. Hatta para malaikat juga menangis dengan apa yang terjadi kepadanya. Turun malaikat memberikan tawaran,
“ Jika engkau mahu, aku boleh arahkan malaikat penjaga gunung untuk mengangkat gunung dan menghempapkan ke atas mereka”
Dia menjawab,
“ Jangan, sesungguhnya mereka tidak mengetahui. Moga-moga, dari tulang sum-sum mereka, tumbuh generasi yang beriman kepada ALLAH SWT”
Ah... mulianya..
Dia pernah satu hari merayau-rayau di tengah kepanasan tengahari, lalui ditemui As-Siddiq dan Al-Faruq yang keluar rumah kerana terlalu lapar di tengah perjalanan,
“ Wahai Rasulullah, apakah yang membuatkan kau keluar di tengah kepanasan ini?” Dua sahabat mulia itu bertanya.
Dia hanya tersenyum, kemudian berkata, “ Apa yang menyebabkan kalian keluar, itulah sebabnya aku di sini”
Oh, dialah penghulu segala utusan langit, dialah yang ALLAH berikan kunci segala kekayaan di dunia, keluar di tengah panas kerana tidak tahan dengan kelaparan yang teramat sangat.
Pernah satu ketika, sahabat-sahabat melihatnya solat duduk,
“ Apakah kau sakit ya Rasulullah”
Dia dengan tenang menjawab, “ Aku terlalu lapar”
Oh... Semua itu dibayar dengan satu hari sahaja? Ummat ini nyata zalim dan tidak sedar diri.
Ketika peperangan parit yang bersejarah, saat 3000 manusia yang menggali parit kepenatan, kelaparan dalam kepanasan, dua tiga orang dari mereka bergerak bertemunya. Dengan sopan dan berkias, mereka mengangkat baju, menunjukkan kepadanya sebiji batu yang terikat pada perut mereka, sebagai bukti mereka terlalu lapar. Dia hanya tersenyum, lalu menjawab dengan berkias juga, mengangkat bajunya, lalu terserlah 3 biji batu yanng terikat pada perutanya, menandakan dia berkali ganda lebih lapar dari sahabat-sahabatnya.
Dan ketika ada manusia soleh menjemput penggali-penggali parit ini untuk makan, dialah yang meletakkan makanan kepada semua penggali parit yang lain terlebih dahulu, dan dia makan yag paling terakhir.
Dialah yang berjuang menyebarkan iman dan ISLAM lalu ditentang. Dialah yang pipinya terperosok dengan tali perisai kepalanya akibat dibaling batu oleh musuh. Dialah yang dahinya dipukul oleh Abu Qamiah celaka pada waktu Uhud. Darahnya bercucuran pada hari itu, tetapi tahukah apa yang dia lafazkan pada saat-saat menjerutkan leher itu?
“ Ya ALLAH, ampunkanlah ummat aku ini, sesungguhnya mereka tidak mengetahui”
Oh... Semua itu dibalas hanya dengan satu hari?
Apakah itu kecintaan yang kita maksudkan?
Tahukah kalian, saat manusia mulia ini sedang sakarat, apakah yang disebut olehnya?
“ Ummati... Ummati... Ummati...”
Ya ALLAH.. Apakah makna kata-katanya itu? Inilah cinta!
Tahukah kalian, saat malaikat penyampai wahyu turun di sisinya saat dia sedang sakarat, apakah yang dia tanyakan?
“ Wahai Jibril, apakah yang ALLAH telah janjikan untuk ummatku nanti?”
Nampak... dia tidak bertanya apakah yang ALLAH janjikan untuknya. Dia bertanya, apakah yang ALLAH telah janjikan untuk kita. Kita. Kita....
Apakah ini?
Inilah dia bukti kecintaan baginda kepada kita. Bagaimana pula kita mencintai baginda? Hanya dengan sepanduk? Hanya dengan program-program? Hanya sehari?
Bagaimanakah kita mencintai baginda?
Apakah seperti sahabat-sahabatnya?
Adakah kamu kenal dengan Abu Talhah?
Dia adalah manusia yang menjadikan dirinya sebagai perisai kepada manusia mulia itu dari hujanan panah musuh di medan Uhud. Belakang tubuhnya penuh dengan tusukan panah bagi menjaga diri manusia yang mulia itu. Tidak cukup dengan itu, dia turut memanah kembali kepada musuh, dengan manusia mulia itu di belakangnya. Bila manusia mulia itu memanjangkan leher untuk menjengah melihat siapakah yang dipanah Abu Talhah, Abu Talhah berkata,
“ Ya Rasulullah, janganlah kau memanjangkan lehermu sedemikian rupa, aku takut jika panah musuh mengenaimu. Biarlah leherku menggantikan lehermu dari panahan musuh”
Itulah dia cinta.
Kamu kenalkah dengan Khubaib bin Adi?
Dia adalah sahabat yang ditangkap musuh, lalu diseksa dengan kejam. Musuh berkata kepadanya,
“ Apakah kau suka, Muhammad menggantikan tempatmu ini? Sedangkan kau bersenang-senang dengan keluargamu?”
Dia menjawab dengan yakin,
“ Aku tidak senang, bergembira dengan keluargaku, sedangkan Rasulullah mengalami musibah walaupun tercucuk sebatang duri!”
Lalu dia mati atas kecintaannya.
Adakah kita sedemikian rupa?
Dua utusan telah dihantar kepada seorang manusia yang mengaku dirinya utusan langit sedangkan dakwaannya hanya palsu semata-mata. Lelaki palsu itu telah melanggar adab menerima utusan, lalu menangkap dua orang utusan itu dan menyeksa mereka. Dia telah mengugut dua orang itu untuk mengakui kenabiannya, ataupun dua orang itu diseksa. Dia bertanya,
“ Siapakah aku?”
Dua orang tadi menjawab dengan yakin,
“ Kamu adalah pembohong, dan Rasulullah itulah utusan ALLAH”
Dua mereka dipancung, dan berbahagialah mereka atas cinta mereka.
Seorang perempuan, ketika perang Uhud berakhir, telah bertanya di manakah Rasulullah?
“ Ayahmu telah tumbang” Orang memberitahu. Perempuan itu hanya berkata, “ Oh.” Kemudian dia kembali bertanya, di manakah Rasulullah?
Orang memberitahu lagi, “ Suamimu telah tumbang” Dia hanya berkata, “ Oh” Dan kembali bertanya di manakah Rasulullah?
Orang memberitahu lagi bahawa anaknya turut terkorban. Dia tetap berkata oh, dan bertanya juga di manakah Rasulullah SAW.
Bila dia melihar manusia mulia itu, dia pergi bertemu dengannya, bersama linangan air mata dan berkata,
“ Ya Rasulullah, segala musibah menjadi ringan bila melihatmu”
Oh... Apakah ini? Apakah ini? Inilah cinta!
Kenalkah kalian kepada Abdullah ibn Umar?
Dialah yang sentiasa mengikuti segala sunnah Rasulullah SAW. Hatta tapak kaki Rasulullah SAW cuba diikuti satu persatu. Selalu pergi ke pasar, bukan untuk membeli barangan, tetapi hanya untuk menyebarkan salam.
Apakah itu? Itulah kecintaan.
Bagaimanakah kecintaan?
Saat manusia mulia ini ditarik nyawanya, kembali kepada Rafiqnya yang Tertinggi, Al-Faruq yang terkenal tabah tersungkur dan hilang sebentar kewarasannya. Si Pemalu terhenti dari berkata-kata dan hanya duduk di rumah sahaja. Yang bergelar Karamallahuwajhah pengsan tidak mampu menahan berita tersebut. As-Siddiq jugalah yang tabah, menunjukkan kecintaannya yang lebih tinggi dari sesiapa,
“ Ya Rasulullah, andai air mata itu berguna, maka akan kami menangis hingga air mata kami kering”
Apakah yang As-Siddiq tunjukkan kecintaannya pada saat sukar ini?
“ Dan tiadalah Muhammad itu melainkan seorang rasul yang sebelumnya telah berlalu beberapa orang rasul, apakah apabila dia telah mati, atau dibunuh, kamu hendak berpaling?...”
Ayat itu dibaca. Semua yang tenggelam dalam kesedihan yang teramat sangat kembali tenang. Maksud kecintaan diterjemah di sini. Bukanlah kecintaan itu dengan menangisi kematiannya, atau meraikan kelahirannya, semata-mata. Tetapi tanda kecintaan yang sebenar adalah meneruskan perjuangannya, menyebarkan risalahnya, melaksanakan ajarannya, dan hidup sebagai mana yang telah diajari olehnya.
Lihatlah ketika As-Siddiq dinasihatkan untuk menukar Usamah yang menajdi jeneral ke Rom kepada sahabat yang lain yang lebih tua. Apakah katanya?
“ Apakah kamu hendak aku menukar apa yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah? Sesungguhnya demi ALLAH, aku tidak akan mengubah apa-apa walau sedikit pun!”
Inilah dia manusia-manusia yang mencintai manusia bernama Muhammad bin Abdullah, dan kita semua dilarang memanggilnya dengan namanya, lalu gelaran Nabi ALLAH, Rasulullah, Nabi Muhammad, meniti di bibir-bibir kita sebagai tanda hormat yang teramat tinggi pada lelaki mulia utusan langit itu.
Cinta...
Bukan sekadar mengangkat sepanduk, bukan sekadar bernasyid selawat, bukan sekadar berarak menulang laungan. Tetapi cinta diterjemah dengan amal dalam seluruh kehidupan.
Sesungguhnya, apa yang kita katakan sebagai ‘cinta’ kepada Rasulullah pada tarikh 12 Rabiulawwal ini, langsung tidak bermakna jika kita hidup bukan dalam ajarannya.
Apakah makna cinta sebenarnya?
Nyata kamu semua adalah ummat yang mengada-adakan sahaja.
Jika benar cinta, buktikanlah dalam kehidupan.
Apakah kalian tidak malu dengan baginda dan sahabat-sahabatnya yang telah menterjemahkan cinta?
Alangkan cinta dengan kekasih sanggup berkorban harta dan jiwa raga, bagaimana cinta kita kepada baginda yang telah terlebih dahulu menumpahkan cintanya kepada kita?
Hei ummat yang tidak sedar diri...
Sedarlah.
Sesungguhnya kitaran maulid nabi menghampiri, maka apakah maulid kali ini kita rai hanya dengan zahiri semata-mata?
Terjemahkanlah cinta, sebagaimana Rasulullah SAW menterjemahkan cintanya kepada kita, sebagaimana sahabat-sahabatnya menterjemahkan cinta mereka kepada baginda.
nukilan dr bloggers: http://langitillahi.blogspot.com