Monday, March 9, 2009

12 Rabiul Awwal.. apakah yang sedang kita lakukan?

cintakan Rasulullah?

cintakan Rasulullah?

Hari ini 12 Rabiul Awwal. Sesetengah riwayat menyatakan bahawa hari ini adalah hari lahir baginda Rasulullah SAW. Sesetengah riwayat juga berpendapat bahawa, pada tarikh yang sama juga, Rasulullah SAW pergi meninggalkan dunia, sekaligus meninggalkan ummahnya.

Apakah yang kita akan lakukan pada tarikh ini?

Hari ini, kebanyakan manusia bergerak berarak keliling kampung dengan sepanduk. Beberapa kumpulan nasyid akan mereka nasyid khas bertemakan Rasulullah SAW. Akan ada ceramah-ceramah. Rancangan di televisi juga akan berkisar seputar keadaan hari ini. Akhbar juga akan membawa hal-hal atau peristiwa yang terjadi sekitar kepentingan hari ini.

Saya gembira melihat manusia menyayangi Rasulullah SAW sedemikian rupa. Saya tambah gembira apabila program-program sebeini dapat menarik minat sesiapa yang tidak mengenali Rasulullah SAW untuk mengenali baginda dengan lebih dalam. Saya tambah gembira jika program-program yang diadakan mampu menarik minat orang yang bukan ISLAM kepada ISLAM.

Tetapi…

Selepas puluhan kali Maulid Rasulullah SAW ini berlangsung, apakah cinta kepada baginda semakin mendalam?

Kenapa dalam post saya, ‘Kecintaan Kepada Rasulullah?’ saya nyatakan berkenaan terjemahan cinta kepada baginda dalam kehidupan? Hal ini kerana, saya meoihat ummah telah semakin tersasar dari ajaran Rasulullah SAW. Kita meoihat hari ini, kehidupan hari ini membuatkan iman manusia tercalar, tercalar dan semakin hari semakin menipis lalu hilang dari kehidupan insan.

Maka apakah yang terjadi dengan pelbagai program maulid Rasulullah SAW? Itu baru untuk 12 Rabiul Awwal. Belum lagi ditambah dengan program-program ketika Ramadhan, musim haji, hari raya Qurban, dan Hari raya Aidil Fitri. Tetapi kenapa manusia semakin rosak, dan bukan semakin baik? Kenapa kadar jenayah semakin meningkat, bukan semakin menurun? Kenapa diri kita semakin lemah dalam jahiliyyah, bukan semakin kuat dalam keimanan kepada ALLAH?

Perasankah bahawa kita ini sebenarnya menyambut perayaan. Kita tidak menghayati hari-hari ini dan makna-makna yang tersellit di dalamnya. Kita menyambutnya, kita menyediakan program-program, kita isi hari-hari ini dengan banyak aktiviti hanya lebih kerana tarikhnya. 12 Rabiul Awwal.. oh, Maulid Nabi! Jadi kita kena berarak, jadi kita kena buat sepanduk, jadi kita kena ada persembahan nasyid, jadi kita kena ada program televisyen berbentuk ISLAMIK yang menyatakan perihal maulid nabi, khutbah jumaat juga cakap fasal maulid nabi, artis-artis yang tak bertudung perlu bertudung bila buat persembahan hari itu dan sebagainya lagi. Semuanya kerana tarikh.

Akhirnya, perayaan tinggal perayaan. Ketahuilah saudara-saudariku, adakah anda berpuas hati dengan kehidupan sebegini rupa? Adakah ISLAM ini satu cara hidup yang tertonjol hanya dengan perayaan-perayaannya sahaja? Adakah ISLAM ini, diciptakan oleh ALLAH untuk manusia mengamalkannya pada beberapa hari tertentu sahaja? Adakagh ISLAM ini satu deen berbentuk perayaan?

Kita telah menukar hari-hari besar dalam ISLAM ini sebagai hari hiburan sahaja, hari-hari di mana penjual-penjual kain sepanduk mendapat untung, hari di mana stesen-stesen televisyen mendapat untung, hari di mana pekerja-pekerja pejabat mendapat cuti dan sebagainya.

Mana sebenarnya terjemahan cinta kita kepada Rasulullah?

Baginda bersusah payah, berkorban darah menumpah keringat, dan kita membayarnya dalam bentuk perayaan yang tidak menyentuh hati manusia untuk berubah ke arah kebaikan?

Adakah kita menyangka bahawa Rasulullah ini seperti kita yang gembira hari lahirnya disambut-sambut? Alangkan baginda sendiri tidak pernah menyambut hari lahir baginda, kecuali dengan sabda baginda yang bermaksud,

“ Berpuasalah kamu pada hari isnin, sesungguhnya pada hari itu aku dilahirkan”

Nah.. Nampak atau tidak, Rasulullah menyuruh kita menghormati hari lahirnya dengan amal, bukan dengan perayaan-perayaan.

Oh manusia.. apakah begini kamu membayar perut nabi yang kekosongan lapar kerana hendak menyampaikan iman dan ISLAM kepada kita?

Oh manusia… apakah begini kamu membayar Rasulullah yang bertarung dalam keperitan sakarat dan dia masih menyebut-nyebut nama kita? Ummati.. ummati… ummati…

Oh… ummah jenis apakah kamu semua ini?

Tidak salah menyambut. Tetapi kamu perasan atau tidak, kamu nyatakan kamu membuat sambutan Maulid Ar-Rasul ini adalah untuk mengingati Rasulullah SAW. Tetapi kamu sebenarnya berseronok untuk diri kamu sahaja.

Saya tidak nampak hari ini perlu kita lalui dengan senyum tawa dan gembira. Sepatutnya hari ini kita laluinya dengan bermuhasabah. Muhasabah bagaimanakah keadaan ISLAM pada hari ini? Adakah baik? Adakah bagus seperti zaman kegemilangannya? Kita sepatutnya duduk bermuhasabah, apakah sumbangan kita dalam menjaga deen ini? Apakah yang telah kita lakukan untuk menyebarkan deen yang telah Rasulullah gadaikan nyawanya untuk menyampaikannya kepada kita ini? Kita sepatutnya duduk sebentar merenung kembali perjuangan Rasulullah SAW dalam menyampaikan ISLAM ini, seterusnya bertanya kepada diri kita, apakah yang telah aku lakukan terhadap ISLAM ini?

Muhasabahlah. Perasan kah kita bahawa kita telah banyak membazirkan usia kita atas perkara yang sia-sia? Sedarkah kita bahawa kita sedang memegang kunci syurga atas gadaian nyawa seorang manusia? Manusia itu bergelar Rasulullah yang bukan menginginkan kita menyambut hari lahirnya, melainkan dia inginkan kita mengamalkan ajarannya.

Apa yang anda telah lakukan terhadap wasiat Rasulullah SAW?

“ Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jik akamu berpegang teguh kepadanya, maka kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnah RasulNya”

Apa yang telah kamu lakukan?

Maka 12 Rabiul Awwal ini, ambillah masa dan berfikir. Muhasabahlah. Untuk negara-negara yang bercuti, ambil lah masa cuti ini untuk bermuhasabah. Rasulullah SAW sebagai Rasul telah menjalankan tugas baginda. Kita sebagai ummah, apa yang telah kita lakukan? Kepada pelajar-pelajar negara bukan ISLAM, sebagai contoh, Korea(saje je sebut korea.. ana tahu ada pembaca dari korea sekarang ni), walaupun tiada masa untuk duduk-duduk kerana tidak bercuti, maka tanya-tanyakanlah di dalam hati sambil melakukan kerja-kerja lain, apakah kita telah melaksanakan tugasan kita sebagai ummat Rasulullah?

Ingatlah yang kita di hari akhirat nanti inginkan syafaat Rasulullah SAW. Tetapi apa yang telah kita lakukan dengan amanah iman dan ISLAM daripada baginda ini?

Hanya dengan mengangkat sepanduk? Berarak? Bernasyid?

Jika kita masih rasa demikian, maka kita memang ummah yang tidak sedar akan diri sendiri…

Marilah kita sama-sama muhasabah.

Ps: Harap kita boleh puasa hari ini. Hari isnin bukan? Ternyata kitaran itu sudah kembali. Ada riwayat menyatakan bahawa hari isnin adalah hari kelahiran Rasulullah SAW. Tahun ini, kita diberi peluang, 12 Rabiulawwal betul-betul jatuh pada hari isnin. Jom puasa sunat.(tiada puasa sunat untuk maulid Rasul, memandangkan maulid nabi pun tidak disambut pada zaman nabi, para sahabat dan para tabiin. Jadi kita niat puasa sunat hari isnin sebagaimana yang dianjurkan Rasulullah, dan perbanyakkan amal kita)


rujukan dr http://ms.langitilahi.com/

No comments: