Tuesday, March 24, 2009

kejahilan terhadap ISLAM

Sistem kehidupan ISLAM hari ini sudah menjadi asing

Sistem kehidupan ISLAM hari ini sudah menjadi asing

Bila kita bergerak untuk kembali mengambil ISLAM sebagai sistem hidup, pasti kita akan mendengar cemuhan-cemuhan kurang enak dari pelbagai orang. Jangan kata hendak mengambil ISLAM secara menyeluruh, baru sahaja memakai kopiah di kepala, sudah akan ada orang yang berkata,

“ Alah, nak berlagak alim la tu…”

Dan lebih kelakar lagi, yang akan menyindir kita itu adalah orang bernama ISLAM, dan agamanya juga adalah ISLAM.

Adakah kita perlu terasa dengan kata-kata orang sebegini?

Jika dikembalikan soalan itu kepada saya, maka saya akan menggeleng kepala. Tidak perlu hendak terasa. Malah doakanlah kesejahteraan kepada mereka. ALLAH SWT berfirman,

“ Dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka(dengan kata-kata yang menghina), mereka(orang-orang yanng beriman) mengucapkan kesejahteraan” Surah Al-Furqan ayat 63.

Ya, ayat itu termaktub di dalamnya jahil. Mereka yang menyindir manusia lain dalam mengambil ISLAM sebagai cara hidup adalah manusia yang jahil. Mereka jahil terhadap ISLAM itu sendiri.

As-Syahid Abdul Qadir Audah berkata,

“ Manusia hari ini hanya berbangga dengan nama ISLAM yang mereka ada, tanpa mengetahui apa pun berkenaan dengan ISLAM”

Nama Ahmad, ketika Hari Raya rasa bangga dengan baju melayunya, dengan solat hari rayanya, dengan duit rayanya, saat kematian bergerak sedih dengan Yasinnya, semasa raya haji sibuk dengan binatang korbannya, ketika puasa bersusah payah dengan kelaparannya, ketika melakukan haji mengorbankan banyak duitnya, ketika berjaya sibuk dengan kenduri kesyukurannya. Itulah ISLAM yang ditonjolkan. ISLAM pada tradisi, ISLAM pada budaya, ISLAM pada tempat-tempat dan waktu tertentu sahaja. Bila manusia lain menonjolkan ISLAM pada juzu’ kehidupan yang lain, mata Ahmad ini akan memicing pelik, dan mula keluar dari mulutnya kalam-kalam aneh,

“ Bajet bagus lah tu…”

Kewujudan manusia-manusia seperti ini hakikatnya membuatkan masyarakat terkelambu dengan hakikat ISLAM sebagai sistem hidup yang sebenar. ALLAH SWT berfirman,

“ Dan barangsiapa yang mencari jalan hidup selain ISLAM, maka dia tidak akan diterima, dan dia di akhirat kelak tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi” Ali Imran ayat 85.

“ …Pada hari ini AKU sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan AKU sempurnakan nikmatku dan AKU redha ISLAM untuk kamu sebagai cara hidup..” Ayat 3 Surah Al-Maidah.

ISLAM bukan sekadar agama yang berfungsi ketika di dalam tempat ibadahnya, atau pada masa-masa dan tempat tertentu sahaja. ISLAM adalah satu sistem hidup yang menyeluruh, lengkap dan bersifat alami.

Di sisi ALLAH, tiada sistem lain yang akan diterima melainkan sistemNya ini. Sebab itulah jika kita perasan, ALLAH menurunkan AL-Quran sebagai petunjuk untuk membawa hamba-hambaNya memahami sistem hidup ini. 240,000 Nabi dan 313 Rasul turut dihantar untuk membawa manusia agar kembali kepada sistem hidup ISLAM ini. ALLAH SWT berfirman,

“ DIAlah yang mengutuskan rasulNya dengan petunjuk, dan agama yanng benar untuk diunggulkan atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai” At-Taubah ayat 33.

Kini, ISLAM sudah sempurna dan sesuai digunakan oleh semua manusia, zaman-berzaman, sehinggalah tiba hari yang dijanjikan. Tetapi manusia hari ini seperti tidak mahu memandang sistem hidup daripada ALLAH SWT ini. Kenapa sebenarnya?

Kerana sistem hidup ini tidak mengisi hawa nafsu manusia secara liar. Sistem hidup ini, mendidik manusia bahawa, tidak semua keseronokan dunia boleh disentuh. Sistem hidup ini adalah sistem hidup bukan berasaskan materialisma. Sistem hidup ini asasnya adalah iman kepada ALLAH SWT.

Manusia yang diserang dengan material, dan mencintai dunia, sememangnya akan menghalang dirinya dari mengambil sistem hidup ISLAM ini. Manusia yang sudah diracuni sikap ananiah, sememangnya tidak akan menyentuh sistem ini. Manusia yang sudah mabuk dengan kesenangan dunia dan kuasa, memang tidak akan memandang sistem hidup ini berguna untuknya.

Justeru, insan yang bertegas untuk mengambil sistem hidup ISLAM ini, tidak boleh memandang kepada manusia yang sudah teracun dengan dunia ini untuk mengambilnya. Mestilah kita kembali kepada sumber yang sohih jika hendak mengambil sistem ini.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi juga menggesa manusia supaya kembali melihat dan merujuk sumber-sumber yang sohih ini. Mujahid Fathi Yakan pula mengajak kita semua untuk kembali melihat dan mentadabbur semula Al-Quran dan As-Sunnah yang sememangnya merupakan perlembagaan kepada ISLAM itu sendiri.

Kejayaan generasi awal ISLAM perlu dilihat sebagai satu aspirasi dan inspirasi kepada semua manusia yang ingin mengambil sistem hidup ini. Mereka adalah bukti bahawa sistem hidup ISLAM ini tidak mengecewakan, malah membawa kebahagiaan. Generasi Al-Quran yang unik itu berjaya, kerana mereka dibina dengan keimanan, bukannya dengan material, dan lebih penting, mereka mengambil ISLAM sebagai cara hidup tanpa menolak apa-apa dari ISLAM walau satu huruf.

Merekalah yang tegar dan tidak tergoncang dalam menempuh rintangan dan cabaran sepanjang memikul perjuangan membawa sistem hidup ini kepada manusia. Segala halangan dan rintangan, dianggap sebagai ujian ALLAH SWT untuk menguji kebenaran iman mereka. Merekalah golongan yang berjaya melenyapkan ghrubah ISLAM fasa pertama.

Justeru kita sebagai manusia hari ini, perlu kuat juga berusaha dalam merealisasikan ISLAM sebagai cara hidup kita. Mesti hendak membuktikan kepada manusia seluruhnya bahawa, ISLAM adalah satu-satunya cara hidup yang mampu membeli kebahagiaan. Sebab itulah kita diseru untuk berusaha dan bergerak tanpa putus asa dan menunjukkan kecacatan.

Kejahilan yang melekat dalam kepala kita hari ini berkenaan ISLAM perlu dibasuh semula. Sumber yang sohih mesti dirujuk semula. Perjuangan yang dimulakan para as-sabiquunal awwalun mesti dijunjung semula. ISLAM, mesti kita usahakan untuk tertegak di dalam diri kita.

Sistem apakah yang lebih bagus dan baik, dari sistem ciptaan PENCIPTA kita? ALLAH SWT berfirman,

“ Acuan ALLAH, siapakah yang lebih baik dari ALLAH acuannya? Dan kepadaNya kami menyembah” Al-Baqarah ayat 138.

Mari kita membasuh kejahilan yang menjadi daki di dalam kehidupan kita, dan mari kita menjadi HAMBA!


Rujukan dr www.langitilahi.com

No comments: