Ayat Kursi, adalah satu ayat yang amat terkenal di dalam Al-Quran. Malah, di kalangan masyarakat melayu, Ayat Kursi ini ibarat ayat yang paling hebat dalam Al-Quran. Orang melayu ramai yang percaya bahawa ayat ini amat mujarab bila digunakan untuk menghalau syaitan dan jin.
Saya membelek terjemahan Ayat Kursi ini.
Walaupun membacanya saban hari dalam Al-Mathurat, saya tidak pernah mendalami maknanya. Hari ini tergerak untuk memerhatikan kalimah-kalimah melayu, terjemahan kepada ayat suci itu.
Dan hati ini bergetar.
Kita dengan DIA.
Kerdilnya kita di hadapan DIA.
Manusia sering menyangka bahawa, dia mempunyai pemikiran yang hebat, serta ilmu yang tinggi dan mampu melakukan segalanya. Mereka ini akhirnya bertindak mengamalkan hukum hutan di dalam kehidupan manusia, yang kuat akan membaham yang lemah. Bukan setakat itu kerakusan mereka terhenti. Mereka malah ada hajat untuk menundukkan DIA.
Beberapa insan yang boleh kita jadikan contoh berhajat melakukan demikian adalah Firaun dan Namrud. Firaun amat angkuh, dan dengan fikiran singkatnya mengakui bahawa Sungai Nil itu mengalir bawah kuasanya. Malah, dia tanpa rasa takut mengakui bahawa dirinya adalah TUHAN yang tertinggi.
“ Dia(Firaun) berkata, Akulah TUHAN kamu yang paling tinggi” Surah An-Nazi’at ayat 24.
Pada Firaun, kekuasaannya di Mesir ketika itu, malah kebijakan tidak terpecahnya dalam membina piramid, sudah seakan-akan menyamai kekuatan TUHAN. Maka tanpa segan silu atau takut, dia mengisytiharkan peperangan dengan kasih sayang DIA yang bernama Musa.
Firaun adalah manusia yang tidak mengambil pengajaran dari orang sebelumnya. Ada seorang manusia bernama Namrud, berkuasa di atas satu wilayah ajaib bernama Babilon. Keagungan tempat itu terserlah dengan Taman Tergantung Babilon yang sehingga kini masih berselirat misteri yang tidak mampu dipecahkan.
Namrud turut merasakan bahawa dia adalah TUHAN. Mampu menghidupkan dan mematikan. Dia menindas semua orang di bawahnya dan merasakan dialah segalanya. Maka DIA telah menghantarkan kasih sayangNya bernama Ibrahim. Dan Namrud dengan angkuh melemparkan kasih sayangNya itu ke dalam api, malah bertindak bodoh dengan membina bangunan yang teramat tinggi untuk memanah DIA.
Apa yang berlaku kepada dua manusia ini?
Namrud mati hanya kerana nyamuk. Firaun yang tidak mengambil pengajaran dari Namrud yang telah wujud sebelumnya, mati dilemaskan DIA di dalam laut.
Manusia hari ini, ramai sahaja yang bercita-cita untuk hidup seperti Firaun dan Namrud itu. Tetapi berapa ramaikah yang mengambil pengajaran dari pengakhiran kedua makhluk ALLAH itu?
Bagaimanakah kita agaknya?
Bagaimanakah kita dengan DIA agaknya?
Menatap Ayat Kursi membuatkan hati saya bergetar.
“ ALLAH, tiada ILAH melainkan DIA. Yang Maha Hidup, Yang terus menerus mengurus(makhlukNya), Tidak Mengantuk dan Tidak Tidur. MilikNya apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Tidak ada apa yang mampu memberikan syafaat di sisiNya tanpa izin daripadaNya. Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, dan mereka pula tidak tahu sesuatu apa pun tentang ilmuNya melainkan apa yang DIA kehendaki(untuk mereka ketahui). KursiNya meliputi langit dan bumi. Dan DIA tidak merasa berat memlihara keduanya(Langit dan bumi) dan DIA itu Maha Tinggi lagi Maha Besar” ayat 255 Surah Al-Baqarah.
Ayat yang hanya disebut orang bila menghalau jin dan syaitan ini, hakikatnya mempunyai makna kebesaran DIA yang terulung. Ayat itu seakan-akan ringkasnya bermaksud,
“ Kamu semua tidak punya apa-apa, hidup pun dalam belas kasihan dan jagaan DIA…”
Hati jadi sempit. Nafas jadi sesak kerana teringatkan rasa angkuh, bongkak, lupa diri, lalai, alpa dan seribu macam lagi rasa yang menjauhkan kita dengan DIA yang selama ini menari-nari dalam kehidupan kita. Kita dengan DIA, apa kudrat yang kita ada untuk bangun dengan segala dosa di hadapan DIA nanti? Pada hari tidak berguna apa-apa, melainkan hati yang sempurna.
“ Hari yang tidak berguna harta dan anak pinak. Kecuali yang datang kepada ALLAH dengan hati yang sempurna” Surah Asy-Syu’ara ayat 88&89.
24 jam kehidupan kita, berapa banyakkah kita mengingati DIA?
Dalam keadaan kita alpa, adakah DIA terus menghantar azab tanda kemarahanNya?
Tahukah apa yang DIA firmankan kepada kita?
“ Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum KAMI mengutuskan Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)” Surah Israa’ ayat 15.
Ya. DIA menyatakan yang DIA tidak akan jadi pengazab, sebelum DIA sampaikan kepada kita utusanNya.
Tidakkah anda melihat Rasulullah SAW itu sebagai hadiah kasih sayangNya kepada kita? Tidakkah kita melihat bahawa ISLAM itu sebagai rahmatNya kepada kita?
“ Dan tiadalah kami utuskan engkau(wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk seluruh alam” Surah Al-Anbiya’ 107.
Sebenarnya, sebagai mana sayangNya DIA kepada hambaNya bernama Firaun dan Namrud itu, seluas itu jugalah kasih sayangNya kepada kita hari ini. Tidak pernah mengecil kasih sayangNya ditelah waktu, tidak pernah luput keampunanNya ditelan zaman. Cuma hambaNya bernama Firaun dan Namrud itu menolak semua itu daripada DIA.
Bagaimana pula kita?
Bagaimana pula kita dengan DIA?
Soalan yang saya tanya, untuk hati-hati kita menjawabnya.
rujukAN dari http://ms.langitilahi.com/kita-dengan-dia/
No comments:
Post a Comment