KURANG ADAB & BERKAT
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Semasa saya sedang memberikan kuliah pertama dalam kelas Fiqh Muamalat bagi pelajar tahun 3 di European Institute of Human Science. (www.eihs.org.uk)
Tiba-tiba seorang pelajar dari Russia mengangkat tangan lalu bercakap dalam bahasa arab yang masih boleh saya fahami walaupun agak sedikit kelam kabut.
Ia satu perkembangan memberangsangkan, kerana sebahagian pelajar ini dahulunya tidak mengenali huruf 'Arab, namun hari ini dalam tempoh 4 tahun, mereka sudah boleh bercakap ‘Arab dengan gaya bahasa pasar, walaupun ada kesalahan namun ia tertutup dengan gayanya yang penuh yakin.
Itulah salah satu kunci untuk berjaya dalam pertuturan bahasa, keyakinan terlebih dahulu dan diikuti pembetulan sedikit demi sedikit.
"ustaz, kami sebenarnya suka kuliah ini tetapi kami harap ustaz tidak mengambil hak kami, biasanya pensyarah memberikan kami 10 minit rehat dan tamat 10 minit lebih awal"
Panas juga saya mendengarnya, namun disebabkan ini kelas pertama dan saya juga tidak maklum kebiasaan pengajaran di sini, saya hentikan kelas untuk 10 minit sebagaimana diminta dan menyambung kembali sejurus selepas itu.
Mengajar Fiqh Muamalat menjadikan saya begitu khusyuk sehingga tidak sedar waktu yang berlalu, keghairahan saya memberikan penerangan ditambah dengan pelbagai isu semasa yang sedang cuba difahamkan kepada pelajar. Majoriti pelajar bertubi-tubi mengajukan persoalan dengan penuh minat kerap menjadikan saya semakin tidak melihat jam.
Kelas ini dijadualkan pada hari Isnin bermula jam 11 pagi sehingga jam 1 petang. 2 jam kelas sememangnya berat kecuali bagi mereka yang benar-benar ghairah dengan ilmu.
Saya teringat kelas Sarjana (MA) Fiqh ketika di Jordan yang berlangsung 3 jam tanpa henti. Namun demikian, inilah suasana kelas yang amat saya rindui sekarang, malah amat luar biasa apabila saya tidak dijengah perasaan mengantuk sama sekali walau 3 jam, berbeza sekali dengan kelas-kelas di ketika saya di peringkat Sarjana Muda (BA), mengantuk kerap menjengah.
Memang banyak alasan mempertahankan mengantuk itu, namun ia bukanlah sesuatu yang baik di hadapan guru.
Sebelum kelas kedua bermula, saya meninjau dokumen-dokumen yang disediakan untuk pensyarah oleh pihak pentadbir institut, tiada sama sekali peruntukan 10 minit rehat, semuanya diberikan atas budi bicara pensyarah.
"Tidak mengapalah, saya boleh berikan InshaAllah" demikian niat saya dengan harapan waktu rehat tersebut dapat memberikan kelegaan minda dan tenaga para pelajar.
Setakat ini tiada yang tertidur di dalam kelas saya, itu satu yang baik malah cemerlang. Namun walau tidak tidur, tidak dinafikan ada yang matanya celik tetapi mindanya tidur.
Bagi mengelak paksaan demikian, saya berfikir mungkin memberikan mereka rehat itu boleh diterima.
Kelas kedua bermula.
Sebelum ia bermula, pihak pentadbir institut memaklumkan kepada para pensyarah agar memperlahankan sedikit penerangan kerana tahap kecekapan bahasa arab pelajar adalah berbeza-beza di antara satu dengan yang lain. Kami juga diberitahu agar jangan tergesa-gesa kerana mengejar silibus tetapi boleh berhenti di mana sahaja asalkan pelajar dapat faham.
Ada bagusnya juga, fikir saya
Teringat saya di UIAM yang agak terkejar-kejar untuk menamatkan silibus yang disediakan. Topik-topik pula kebanyakannya bukan ringan untuk pelajar.
HAK ANDA ATAU SAYA ?
Sedang khusyuk saya menjawab soalan pelajar dan menerangkan perihal pecahan aqad di dalam Fiqh Muamalat, tiba-tiba .
"Ustaz, maaf , hak kami adalah untuk berehat 10 minit" tegas pelajar yang sama dahulu.
Kali ini saya cukup terasa.
Saya merasakan biadapnya pelajar ini.
"Anda salah" kata saya
"Tiada hak anda untuk berehat 10 minit, jangan sesekali mendakwa ia HAK anda. Ia adalah hak saya sama ada untuk berikannya atau tidak"
"Malah ingin saya ingatkan, anda semua dengan adab menuntut ilmu, jika anda berfikir kelas ini adalah sebagai satu perniagaan, anda pelanggan kerana membayar yuran dan saya tukang jual, anda tersilap, mungkin anda boleh berfikiran sedemikian jika ini bukan pengajian Islam, namun dalam pengajian Islam unsur barakah sewaktu pengajian amat penting"
"Anda semua ini, merupakan bakal-bakal imam, qadhi dan mufti di negara anda, tiba-tiba sibuk dengan 10 minit rehat, mengabaikan adab majlis ilmu, adakah anda rasa anda boleh berjaya dengan sikap begini" Celoteh saya dengan separuh marah.
Saya marah dengan sikap bakal-bakal pendakwah ini, datang ke Institut untuk mempelajari ilmu Islam, namun dibawa sikap dan adab tidak Islam. Tidak hormati guru dan majlis ilmu.
Seorang pensyarah dan pakar hadis di Universiti Al-Yarmouk dahulu sangat sensitif dengan adab dalam majlis ilmu, sehingga jika terdapat pelajar yang menyilangkan kaki sewaktu duduk (di dalam kelas) akan dimarahinya, paling tidak akan disindirnya secara tajam.
Ada pula guru yang membalingkan pen kepada pelajar yang tidur dan macam-macam lagi.
Malangnya, guru yang ingin mendidik ini berhadapan dengan karenah pelajar yang kurang adab.
Terhakis sungguh adab menuntut ilmu, tiada lagi penghormatan kepada guru, saya sering teringat bagaimana para pensyarah Islam di pelbagai institusi pengajian dicemuh dan dikutuk oleh pelajarnya tanpa sebab yang haq.
Cara berinteraksi dengan guru juga semakin jauh dari adab murid dan penuntut ilmu.
Sebaliknya pensyarah yang memberikan soalan bocor, bermudah-mudah, selalu memberi waktu rehat, mungkin dianggap hero dan favourite. Tidak ketinggalan sebahagian rakan-rakan sepengajian saya ketika di Jordan yang suka mengutuk pensyarah di luar kelas. Malah ada yang dituduhnya sebagai zalim hanya kerana tidak memberikan soalan-soalan jangkaan.
Padahal yang memberikan soalan bocor itulah yang zalim dan mengkhianati amanah.
Allah swt pernah menggambarkan bagaimana adab penuntut ilmu di hadapan gurunya :-
قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِى فَلاَ تَسْأَلْنى عَن شَىءٍ حَتَّى أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْراً
Ertinya : Berkata Khidr (selaku guru), jika kamu ingin ikutiku maka jangan kamu bertanya apa-apa sehinggalah aku menceritakannya kepadamu " ( Al-Kahfi, 70)
Imam az-Zamakhshari berkata :
وهذا من آداب المتعلم مع العالم والمتبوع مع التابع
Ertinya : Inilah sebahagian dari adab penuntut ilmu bersama gurunya, pengikut dengan yang diikutinya" ( Al-Kasyyaf, 2/686)
Namun ini tidaklah bermakna, anda tidak boleh bertanya apa jua semasa guru mengajar, apa yang perlu adalah ‘minta izin' dan menunggu guru menamatkan percakapannya.
Adab-adab penuntut ini sangat ditekankan oleh ulama silam sehingga Imam Al-Ghazzali menyebut :-
ومهما أشار عليه المعلم بطريق في التعلم فليقلده وليدع رأيه فإن خطأ مرشده أنفع له من صوابه في نفسه
Ertinya : Apapun yang diterangkan oleh guru semasa pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan sang guru lebih bermanfaat dari apa yang mungkin benarnya apa yang datang dari dirinya (penuntut)" ( Ihya 'Ulumiddin, 1/50)
Tidak dinafikan kita boleh berhujjah, berdiskusi dan mengkritik pendapat Imam Al-Ghazzali di atas, namun sefaham saya ia dibuat dalam konteks penekanan keperluan menghormati guru, meyakini ilmunya dan adab-adab penuntut ilmu di hadapan guru.
Sebagai murid atau penuntut, jika anda tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat guru, anda boleh berbincang dengan guru secara tertutup, mengemukakan hujjah anda dalam bentuk yang beradab dan tenang serta menjaga air muka serta menghormati tarjihan sang guru.
Ramai saya temui, penuntut yang menampilkan hujah seolah-olah si guru tersebut tidak tahu. Ramai penuntut yang baru khatam dua tiga buah kitab, merasakan diri lebih bijak dari gurunya.
Jika ada yang mengatakan, murid tidak yakin guru itu lebih tahu dari dirinya, nescaya murid itulah yang salah dan memang tidak berilmu. Kerana anda perlu memilih guru, lalu kenapakah memilih guru yang tidak berilmu?.
Imam Malik Bin Anas dan Muhammad Ibn Sirin berkata :-
العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم
Ertinya : Ilmu itu agama, maka telitilah dari siapa kamu ambil ilmu agamamu" (Tibyan fi adab hamla al-quran, 1/25)
Lihatlah contoh anak murid Imam Syafie Rabi yang berkata :-
وقال الربيع صاحب الشافعي رحمهما الله ما اجترأت أن أشرب الماء والشافعي ينظر إلي هيبة له
Ertinya : Berkata Rabi', murid dan rakan SYafie, aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Syafie sedang memandang ke arahku, merasakan kehebatannya" (Tibyan fi adab hamla al-quran, 1/25)
Malah penuntut ilmu Islam di zaman silam amat menghargai gurunya sehingga mereka sering berdoa :-
اللهم استر عيب معلمي عني ولا تذهب بركة علمه مني
Ertinya : "Ya Allah, tutuplah aib guruku dari penglihatanku dan janganlah hilangkan berkat ilmunya dariku"
WEB INI JUGA MEYAKSIKAN
Inilah juga sikap sebahagian pengunjung web ini dan lain-lain web agama apabila bertanya soalan dan membidas hujjah. Terdapat yang tiada adab langsung, dalam masa yang sama mengharap jawapan saya dan rakan-rakan ustaz.
Saya cuba membayangkan web ini sebagai satu medan dakwah dan kuliah ilmu yang diberkati, Namun ia kerap dicemari oleh individu kurang adab. Bila dimarah, disindir kononnya kita tidak sabar dan tidak berhikmah.
Sebaiknya, jika tidak mempercayai saya dan apa yang saya sampaikan, jauhkan sahaja diri dari web dan tulisan saya. Abaikan saya, semudah itu.
Di benaknya, berhikmah itu agaknya boleh dipijak-pijak tanpa melawan. Sedang baginda Nabi s.a.w dan para sahabat sendiri pun pernah bertegas dan keras dalam pendekatan. Kebanyakkannya bergantung kepada latar belakang penanya dan pelaku kesilapan.
Perlu saya tegaskan, para ustaz termasuk saya adalah manusia biasa, tidak maksum dan jika ada yang biadap, tidak ramai ustaz yang masih ingin melayani soalan dan hujahnya.
Terdapat juga yang amat cetek ilmunya, tetapi bila membantah seolah terlalu bijak, sedangkan dari soalan yang diutarakan, kita sudah boleh menjangka sejauh mana ilmunya, kerana soalan itu sebahagian dari ilmu.
AMRU KHALID DAN GURUNYA
Gambar : Sebelah kiri saya guru dan supervisor kami, Prof. Dr Mawil Izzi dein, UZAR, Syeikh 'Amru Khalid, Ust Abd Halim naam (rakan phd), dan Fauzi ( rakan Phd dari LIbya)
Semalam, saya berpeluang bertemu dengan Syeikh 'Amru Khalid, seorang tokoh Muslim yang amat popular di dunia Islam terutamanya di dunia Arab. Beliau tersenarai salah seorang dari seratus orang tokoh paling berpengaruh di dunia. Baca berita berkenaan pencapaian top 100 ini.
Beliau juga sedang menyiapkan PhD nya di Universiti of Wales, Lampeter. Supervisor beliau juga adalah sama dengan saya iaitu Prof. Dr Mawil Izzi Dein. Semasa bertemu dengannya saya cuba mengajaknya untuk memberikan sedikit kuliah pendek kepada warga Malaysia di sini. Namun dengan penuh hormat beliau menolak sambil merujuk kepada Dr Mawil.
Bayangkan, tokoh sebesarnya masih hormat dan mengambil kira pendapat gurunya. Hormatnya kepada Dr Mawil kelihatan cukup jelas.
KESIMPULAN
Berusahalah mencari guru yang dipercayai, doakan agar tidak terlihat aibnya, dan jangan mencari kelemahannya, ambil kebaikannya, diskusi dengannya dengan adab dan masuki majlisnya dengan hormat agar berkat ilmu mampu sampai dan memberikanmanfaat di dunia dan akhirat.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
P/s: aku terasa...aku niew trk...huuuuu...sori dr...
No comments:
Post a Comment