bahagia, jgn hangus Ada manusia terperangkap dalam kesepian. Ada manusia terperangkap dalam kesunyian. Ada manusia terperangkap dalam sendirian.
Dalam tiga situasi ini, manusia sering keresahan, kegelisahan, dan rasa tidak selamat. Dia rasa lemah, dan kelihatan seakan-akan segala sumber kekuatan sudah tertutup rapat. Ketika inilah manusia seakan-akan orang yang buta walaupun dia mampu melihat segalanya.
Justeru, apabila manusia mengadu kepada saya akan keresahannya, kesepiannya, kesendiriannya, kelemahannya, saya suka bertanya satu perkara:
“Bagaimana keadaan hati anda?”
Ya, hati. Raja kepada seluruh tubuh badan kita.
Bagaimana keadaannya?
Ketahuilah bahawa, segala kelemahan yang dirasa, segala kegelisahan yang datang menjelma, hanyalah kerana hati itu kekosongan. Tidak diisi dengan makanan berkhasiat. Membuatkan segala penyakit hadir mengisi kekosongan.
Maka, hatimu itu, isilah.
Pengisian hati,makanan ruhi
Hati, dengan apakah ia hendak diisi?
Pertama sekali saya hendak kata, jangan samakan hati yang saya sebut ni, dengan hati yang wujud sebagai salah satu organ tubuh kita ya. Saya gunakan perkataan hati, tapi sebenarnya saya sedang memperkatakan perihal ruh kita. Sesuatu yang tidak terlihat dek mata kasar.
Kalau kita lihat semula, kepada penciptaan manusia, kita ini sebenarnya terbahagi kepada dua unsur. Manusia dicipta dari tanah(unsur bumi) dan kemudian diberikan nyawa dengan tiupan ruh(unsur langit). Di sini, saya suka mengajak kita semua muhasabah.
Apa yang menyenangkan tubuh badan kita?
Ada rumah, ada makanan, ada pakaian, ada pasangan, ada keturunan dan pelbagai lagi perkara yang bersangkutan dengannya. Mahal atau tidak, itu perkara kesepuluh. Yang penting, semua perkara itu ada, maka diri kita akan merasa senang.
Namun kebanyakan manusia hanya berhenti setakat itu. Dia tidak pula bertanya: “Apakah yang menyenangkan hatinya?”
Kerana kebanyakan manusia, bukan tidak mahu menyenangkan hatinya. Tetapi dia tidak tahu, betapa hatinya juga perlu disenangkan, diisi dan diberikan makanan.
Bila manusia sedar akan keperluan hatinya?
Bila sunyi menyerang, bila dia sendirian, tika dia sepi seorang. Walaupun ketika itu, dia dikelilingi kemewahan, anak pinak, pasangan dan sebagainya. Dia merasakan tiga perkara itu walaupun dia mencapai segala-galanya. Walaupun tubuhnya senang, hatinya gersang.
Ketika itu baru dia tertanya-tanya: “Apa yang aku kurang?”
Sebenarnya, hati yang kosong, itulah sumber segala keresahan dan kegelisahan.
Maka, sesuatu yang berasal dari langit, perlu diisi dengan sesuatu dari langit juga.
Solat, Al-Quran, zikir, dan keterikatan kita kepada Allah SWT, empunya segala perkara.
Aku dah buat, tapi tetap kosong
Sesetengah orang dia rasa jelek apabila orang menyatakan:
“Kalau hati gelisah, bacalah Al-Quran”
Dia mungkin akan menjawab: “Aku baca Al-Quran berjuzu’-juzu’, hati tak tenang pun!”
Kepada yang menegur orang sebegini, jangan terasa dengan jawapannya yang sedemikian. Kepada orang yang menjawab sedemikian, saya pohon anda duduk sebentar dan mendengar apa yang saya ingin katakan.
Ya, anda telah membaca Al-Quran, anda telah berzikir. Tetapi bagaimana?
Adakah anda solat dengan bersungguh-sungguh atau sekadar lepas sahaja? Adakah anda sekadar membaca Al-Quran berjuzu’-juzu’, tetapi satu ayat pun anda tidak memahaminya? Adakah anda berzikir, tetapi tidak menghayatinya?
“Aku dah usaha, aku hayati, aku faham semuanya!”
Oh, jadi mungkin anda kena periksa semula, kenapa anda lakukan semua itu. Menunjuk-nunjuk?
Ketahuilah sebenarnnya, ketenangan itu adalah milik Allah SWT. Kalau kita benar-benar mendekati-Nya dengan keikhlasan, maka tiada sebab untuk Allah SWT tidak memberikan kita ketenangan. Di sini kita perlu kembali melihat kenapa kita mendekati Allah SWT?
Semata-mata kerana Allah, atau kerana dunia?
Penutup: Hati itu perlu diisi
Hendak atau tidak, hati itu perlu diisi.
Jika kita tidak bergerak mengisinya dengan perkara yang sepatutnya, maka keburukan pula akan mengisinya. Ibarat batu. Jika ia tidak bergolek, maka lumut akan menyelimutinya walaupun dia tidak bergerak.
Maka isilah hati, ruh kita ini dengan unsur langit yang diperlukannya. Kita teliti solat kita, al-quran kita, zikir kita kepada Allah SWT. Bukanlah saya katakan ini semua, hendakkan anda menetap di masjid 24 jam dan tidak keluar-keluar. Bukan. Saya tidak pernah mengajak sedemikian.
Cuma saya hendak anda teliti, berapa masa yang anda berikan dalam hidup anda untuk Al-Quran? Adakah masa lapang anda, contohnya masa memandu, anda menggunakannya untuk berzikir mengingati Allah? Adakah solat anda selama ini, anda perbaikkan kondisinya?
Manusia sering memandang enteng perkara-perkara sebegini. Dirasakan, kalau sudah cukup perkara materialistik, maka dia bahagia. Mana…. Kita perlu juga material, tetapi material tanpa sokongan perngisian ruh ini, maka material itu tidak akan mendatangkan apa-apa makna pada kehidupan kita.
Maka isilah hati itu. Jangan kita lengah-lengahkan dalam pengisiannya. Jangan kita pandang enteng kepada keperluannya. Di situ, terletaknya kunci bahagia.
Kalau kita rujuk semula pun, di bahagian mana pada tubuh kita yang kita rasa bahagia bila kita bahagia? Yang kita rasa gelisah bila gelisah?
Jawab lah…
rujukan dari: hilal asyraf >langit ilahi<